Khamis, 6 Mei 2010

Langkah-langkah Kerajaan dalam menangani Deforestasi



Kerajaan memandang berat tentang jenayah alam sekitar seperti pembalakan haram. Sehubungan itu, dalam usaha membendung pembalakan haram di Malaysia, Jabatan Perhutanan sentiasa menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan undang-undang di semua negeri melalui perundangan hutan yang berkenaan. Antaranya usaha-usaha yang dilaksanakan adalah

  • penubuhan pasukan penguatkuasaan hutan di peringkat daerah dan negeri serta ‘flying squad’ (dengan izin) di Ibu Pejabat bagi membanteras kes-kes kesalahan hutan

  • mengadakan rondaan di kawasan sensitif termasuk menggunakan helikopter

  • menjalankan sekatan jalan raya dari semasa ke semasa bagi mengawal pergerakan kayu balak

  • menggunakan teknologi Penderiaan Jauh (remote sensing) dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk mengesan dan memantau aktiviti pencerobohan hutan

  • mengadakan sistem balai pemeriksa hutan di mana semua lori yang membawa kayu balak dikehendaki mempunyai pas pemindah yang dikeluarkan oleh balai pemeriksa hutan

  • menggalakkan masyarakat awam membuat aduan mengenai kegiatan pencerobohan hutan yang disyaki sedang atau telah berlaku

  • memastikan bahawa sempadan dengan kawasan-kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) berada dalam keadaan bersih serta ditandakan dengan jelas dan terang di lapangan


Rancangan Pengurusan Hutan (RPH) telah disediakan dengan menggunakan format yang telah disediakan oleh Malaysian-German Sustainable Forest Management and Conservation Project dengan berpandukan kepada Forest Management Planning Rules and Guidelines 2000. RPH yang disediakan bagi tempoh 10 tahun (2006-2015) ini merupakan sebuah panduan am bagi Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) ke arah pengurusan hutan secara berkekalan dan meliputi pembangunan, pemeliharaan dan pemuliharaan sumber hutan di dalam kawasan-kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang telah diwartakan di Negeri Perak Darul Ridzuan. RPH ini adalah disediakan bagi Hutan Darat Kering sahaja manakala RPH badi Hutan Paya Laut telah pun disediakan berasingan.

Semenanjung Malaysia telah mewujudkan rangkaian kawasan perlindungan untuk pemeliharaan kepelbagaian hayat dengan penubuhan taman-taman negara, suaka han rezab hidupan liar, suaka burung dan taman marin sejak tahun 1930an lagi. Taman Negara yang terbesar di Semenanjung Malaysia meliputi kawasan seluas 434,351ha dan telah diwartakan pada awal tahun 1939 yang kebanyakannya berada dalam hutan dara. Seluas 0.74 juta ha di Semenanjung Malaysia telah dilindungi mengikut undang-undang sebagai kawasan pemeliharaan di mana 0.55 juta ha berada di luar HSK dan 0.19 juta ha berada di dalam HSK.


Dalam usaha-usaha untuk melindungi dan mengekalkan jenis-jenis hutan dalam keadaan semula jadi, Jabatan Perhutanan telah mengambil langkah menubuhkan Hutan Simpanan Dara (VJR) sebagai rezab semula jadi dan Arboretum. Hutan Simpan Dara ini berperanan sebagai contoh untuk membuat perbandingan ekologi dan biologi kawasan hutan yang telah dibalak atau kesan rawatan silvikultur. Ianya juga merupakan hutan asli semula jadi untuk kajian. Semenjak tahun 1950, sebanyak 72 buah VJR telah ditubuhkan di seluruh Semenanjung Malaysia yang meliputi keluasan 21,284 ha. Kawasan-kawasan VJR ini merupakan contoh dari berbagai jenis hutan dara yang terdapat di negara ini termasuklah Hutan Paya Laut, Hutan Pantai, Hutan Rawa ( Heath forest), Hutan Paya Gambut, Hutan Pamah Dipterokarpa, Hutan Bukit Dipterokarpa, Hutan Bukit Tinggi Dipterokarpa dan Hutan Pergunungan.

Sehubungan itu, perhatian adalah ditumpukan kepada aspek perlindungan terhadap spesies-spesies yang luar biasa dan yang menghadapi kepupusan. Beberapa spesies hidupan liar yang menghadapi kepupusan telah dikenal pasti dan sedang dilindungi di bawah undang-undang seperti harimau, badak sumbu, kongkang dan beberapa jenis rama-rama. Akta Taman Negara 1980 ( Pindaan 1985) dan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Pindaan 1976 & 1988), memastikan pemeliharaan Taman Negara dan suaka burung-burung dan hidupan liar yang menghadapi bahaya kepupusan. Kawasan hutan perlindungan yang terletak di kawasan HSK seluas 1.90 juta ha telah dijadikan kawasan perlindungan kepelbagaian hayat di Semenanjung Malaysia yang sekarang berjumlah 2.45 juta ha atau 18.6 % daripada keluasa

n tanah negara ini. Di samping itu, Akta Perhutanan Negara 1984 telah dipinda dan dikuatkuasakan pada tahun 1993 di mana penalti untuk pencerobohan hutan telah dinaikkan kepada RM 500,000 dan penjara tidak melebihi 20 tahun dengan penjara mandatori tidak kurang dari 1 tahun berbanding penalti sebanyak RM10,000 dan /atau penjara tidak melebihi 3 tahun sebelum pindaan dibuat.

Strategi-strategi Pengurusan Hutan Secara Berkekalan


  • melaksanakan aktiviti pengusahasilan hutan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) melalui sistem tebangan memilih dan kawalan ketat terhadap pengeluaran hasil hutan

  • mematuhi dengan sepenuhnya Catuan Tebangan Tahunan (CCT)

  • memastikan pemeliharaan dan pengurusan sumber hutan secara berkekalan dilaksanakan melalui penguatkuasaan undang-undang dan peraturan hutan

  • mewartakan HSK mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan hutan sebagai asas bagi pengurusan hutan serta mewartakan kawasan tanah berhutan yang tidak terlibat dengan projek-projek pembangunan tanah

  • meneruskan kajian mendalam berkaitan dengan produktiviti hutan, tumbesaran dan pengeluaran

    • mengemaskini teknik pengurusan dan pembangunan hutan yang sesuai supaya hutan asli dapat diurus secara efektif

    • meningkatkan teknologi maklumat di peringkat mikro dan makro serta memperbaiki alat dan teknik pengurusan bagi pemantauan sumber hutan yang lebih efektif

    • menggalakkan penggunaan sumber hutan yang optimum

    • memastikan tanah berhutan yang akan dimajukan untuk projek pertanian dirancang dengan teliti

    • menjalankan inventori hutan sebelum tebangan yang perlu bagi menentukan rejim pengurusan hutan

    • menjalankan inventori hutan selepas tebangan bagi mendapatkan maklumat mengenai status komposisi jenis dan isi kandungan serta saiz pokok/anak benih bagi menentukan rawatan silvikultur yang sesuai

    • menjalankan kajian tanah bagi menentukan kesesuaian tapak dan spesies pokok yang akan ditanam untuk penubuhan ladang hutan

    • menetapkan kawasan hutan yang sesuai untuk kepelbagaigunaan hutan bagi meninggikan kemudahan rekreasi, pemeliharaan tanah dan air serta pemerliharaan flora dan fauna

    Dengan penghuraian atas langkah-langkah kerajaan dalam menangani deforestasi, adalah jelas bahawa Kerajaan memberi perhatian yang serius bagi melindungi sumber hutan di negara kita ini. Kefahaman yang mendalam terhadap pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan hutan sangat penting bagi mengelakkan tindakan dan hukuman yang berlipat ganda beratnya. Kefahaman ini juga akan secara langsung membantu usaha Kerajaan khususnya Jabatan Perhutanan untuk mengurus dan menja

    ga sumber hutan secara lebih sistematik dan efisien, bukan sahaja untuk mengeluarkan hasil yang ekonomik bahkan lebih penting lagi untuk menjaga kestabilan alam sekitar selaras dengan konsep pengurusan hutan secara berkekalan.

1 ulasan: